Pages

Thursday, September 04, 2014

Sahabat, Kawan, Rakan, Kenalan

Sahabat
Sahabat adalah orang yang memiliki rasa tanggungjawab terhadap diri kita, tetapi tidak memiliki hubungan darah. Dalam erti kata lain, sahabat bukan terdiri daripada adik-beradik tetapi berupaya mewujudkan hubungan yang mirip hubungan persaudaraan antara adik-beradik. Sahabat adalah orang yang banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada kita, dan kita juga begitu.

Sahabat adalah seorang yang setiakawan, boleh membantu apabila kita berada di dalam kesusahan, meredakan kesedihan, menghilangkan kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan kita. Sahabat adalah orang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban kita. Mereka akan sentiasa melindungi kita.

Sahabat tidak semestinya memiliki minat atau pendapat yang sama dengan kita, tetapi mereka akan sentiasa ada apabila kita memerlukannya. Sahabat adalah orang yang membuatkan kita berasa selamat apabila berada bersama-sama, sebab mereka adalah orang yang setiakawan. Sahabat adalah orang-orang yang sangat menyayangi kita.

Sahabat kadangkala adalah penjaga, pelindung dan semangat mereka akan sentiasa ada bersama kita.

Kawan
Kawan ialah seorang yang boleh berkongsi lebih daripada satu perkara seperti minat, hobi, perasaan, perjuangan dan sebagainya biarpun bukan dari organisasi yang sama. Kawan ialah orang yang selalu berinteraksi dengan kita dan mengenali beberapa fakta peribadi mengenainya. Kawan selalu memiliki masa untuk bersama, bergembira, berseronok dan sebagainya.

Kawan biasanya terjadi apabila seseorang itu menemui individu yang lain, yang memiliki persamaan seperti hobi, minat, sikap, tabiat dan pemikiran yang sama dengan dirinya. Kita selalunya berasa seronok dan terhibur apabila berada bersama-sama kawan.

Kawan mungkin boleh berkongsi kesedihan dan kegembiraan, tetapi mereka selalunya tidak akan pergi lebih jauh daripada itu. Malah, sekiranya tidak sependapat, hubungan kawan mungkin terputus.

Rakan
Rakan ialah perantaraan antara kawan dan kenalan. Rakan ialah orang yang berkongsi minat, kerjaya, hobi, permainan, guru, kelas, matlamat dan sebagainya. Contohnya, ada rakan satu tingkatan, rakan satu sekolah, rakan satu kelab dan sebagainya.

Rakan biasanya orang yang boleh mewujudkan kerjasama. Contohnya boleh belajar bersama-sama dengan rakan sekelas, boleh membuat tugasan berkumpulan bersama-sama, bekerjasama dengan rakan-rakan sepasukan untuk menewaskan pihak lawan dalam perlawanan bola sepak, dan rakan-rakan sekerja yang mengadakan mesyuarat untuk syarikat kami dan sebagainya.

Ada rakan yang rapat, ada pula rakan yang boleh dianggap sebagai sahabat, ada pula rakan yang boleh dianggap sebagai kawan, dan ada pula rakan yang boleh dianggap sebagai kenalan.

Kenalan
Kenalan mungkin wujud sebagai rakan. Contohnya rakan chatting, rakan siber dan rakan blogger. Apabila mengenali seseorang itu dalam bentuk atau identiti tertentu, maka dia adalah kenalan. Kenalan adalah orang yang pernah berinteraksi dengan kita tetapi tidak dapat mengesahkan identiti atau kewujudan sebenarnya. kita perlu berwaspada dengan kenalan-kenalan sibar kerana di luar alam siber, mereka tidak semestinya orang yang sama seperti yang kita pernah kenal di internet.

Kenalan boleh meluahkan perasaan mereka, masalah mereka menerusi ruangan komen, emel dan kemudahan-kemudahan interaksi lain di internet, tetapi tidak 100% boleh dipercayai. Kenalan kadangkala wujud sebagai satu hiburan, tetapi kadangkala tidak mustahil mereka boleh memberi kebaikan menerusi perkongsian pendapat, idea dan penyelesaian masalah.

Terimasih SUMBER

Sahabat - Ada, tak ramai
Kawan - Kawan sekerja
Rakan - Ramai tetapi kini hilang
Kenalan - Beberapa

Dulu NJ masih ada beberapa orang sahabat tetapi apabila masing-masing sudah bekerjaya, mendirikan rumahtangga & mempunyai keluarga sendiri, kami terputus hubungan lalu menjadi kawan yang hanya saling menghubungi apabila pada masa tertentu terimbau kenangan lalu. Sesekali NJ terjumpa kawan lama di FB tapi apabila dihubungi, mereka macam tak pernah mengenali NJ atau tak berminat nak bertanya khabar. Rasa macam NJ seorang yang terhegeh-hegeh nak bertanya khabar mereka. Terbaru NJ menghubungi seorang sahabat lama yang dulunya ketawa menangis bersama, berkongsi suka-duka tetapi amat memeranjatkan bila mengetahui reaksinya apabila dihubungi NJ. Emel & yang dihantar agak panjang bertanya khabarnya, responnya hanya satu dua patah perkataan. WOW! Itu saja yang NJ hanya mampu katakan, dan muka rasa berbahang, tak tahu oleh kerana marah ataupun malu. Adakah NJ dulu seorang yang tidak disenangi di kalangan rakan-rakan, hanya Allah yang Maha Mengetahui, kerana seingat NJ, NJ sangat ikhlas dalam berkawan, tak pernah memilih bulu, dan tak pernah ada rasa dengki & iri hati terhadap rakan-rakan selama ini. Tak apalah, bukan rezeki NJ untuk berkawan dengan mereka lagi. Mungkin silap NJ juga kerana tidak bersungguh di dalam perhubungan lalu menyebabkan ikatan mesra yang terjalin dulu kian hilang mengikut arus peredaran masa...

Tetapi NJ tahu ada juga yang masih mengingati NJ dan kepada mereka ini,

"Terima kasih Sahabat kerana masih mengingati"

"and please, do keep in touch"

Di sini, aku ingin pergi...



3 comments:

m.u.l.a.n said...

Apa kabar u... Moga semua happy & healthy...

NJ said...

Khabar baik Mulan, u pon sepi je, moga sihat2 selalu bersama keluarga tersayang :D

Anonymous said...

salam...NJ@Raha...
setuju dengan persepsi dan interpretasi kenalan/rakan/sahabat yang diberi...mudah-mudahan diruangkan jalan untuk saya dapat mengingatkan pada puan status pra-menengah yang mungkin sekadar seorang yang pernah dikenali..dan barangkali perkongsian ekspresi bicara yang ada kan membenarkan ruang sebuah persahabatan...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails