Pages

Thursday, November 20, 2014

Anakku Arif Fitri

Muhammad Arif Fitri nama diberi,
Buah hati penyeri hidup kami,
Genap 17 tahun umurnya hari ini,
Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Setiap ibu bapa pasti mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya, siapa yang tak sayang anak? Sepanjang 17 tahun menjadi seorang ibu, banyak pengalaman pahit manis yang dirasa tetapi semuanya berbaloi apabila melihat anak yang seorang ni membesar di depan mata. Anak yang sorang ni juga bila dah remaja, kadang-kadang perangainya membuatkan NJ rasa geram & kecil hati tapi NJ sentiasa beristighfar & memaafkannya dengan segera supaya tidak tercalit dosa ke atasnya. NJ juga sentiasa mengingatkan diri agar tidak menggunakan perkataan-perkataan yang tak sepatutnya ketika marah, mahupun di dalam hati kerana tak mahu ianya menjadi doa yang buruk buatnya. Ibu mana yang tidak mendoakan yang baik-baik untuk anak-anaknya?

Seingat NJ, dulu masa dia kecik NJ selalu jugak marah dia tapi tak sampai 2 minit NJ akan datang semula & peluk dia, bagitau dia kenapa NJ marahkan dia. NJ dulu garang ya hamat, kekadang satu taman boleh dengar 'jeritan manja' NJ bila marah. Tapi bila usia dah makin meningkat, NJ lebih sabar dan belajar cara mengawal marah, apatah lagi bila mengenangkan kemungkinan hanya Arif seorang anak NJ, kesian pulak bila kena marah selalu. Jarang sekali NJ bebelkan dia kerana NJ tak suka dibebel dan NJ tahu perasaan seseorang bila kena bebel. NJ jugak pernah tangankan dia tapi hubby selalu pesan, nak pukul boleh tapi 'pukul manja like babap kang, hahah...' dari paras pinggang ke bawah, jangan sekali-kali kena kepalanya kerana ia akan memberi kesan emosi yang mendalam kepada anak. Dalam pelajaran, NJ tak suka memaksa, NJ cuma tekankan  konsep 'tanggungjawab' dia sebagai seorang anak, seorang pelajar dan seorang Islam yang sememangnya akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan, terutamanya yang memberi kesan kepada semua orang di sekelilingnya. Kalau dia nak berjaya dalam hidup, berusahalah, usaha yang sungguh-sungguh supaya berjaya dengan cemerlang di dalam bidang yang diceburinya. NJ percaya setiap ibu bapa ada cara dan kepercayaan tersendiri di dalam hal membesarkan anak-anak kan?

Dulu, terasa amat sukar bila memikirkan kemungkinan dia akan meninggalkan kami untuk menyambung pelajaran dan mendirikan rumahtangga sendiri. Dulu juga NJ pernah bagi 'ultimatum' kepadanya supaya mencari bakal isteri yang sanggup duduk sebumbung dengan keluarga mertua. Tetapi ada suatu hari berbual dengan seorang senior yang banyak makan asam garam berkata, 'anak-anak adalah pinjaman, tak guna kita mengharapkan mereka tinggal selama-lamanya dengan kita terutamanya setelah berkeluarga tetapi masing-masing buat hal sendiri. Nanti kalau 'terkecil hati' dengan menantu, kita 'terkecil hati' juga dengan anak. Itu tak bagus untuk semua. Dan janganlah jadi seorang ibu yang bias, walaupun tau anak kita tak betul. Kita masih boleh menasihati tapi jangan anggap mereka macam budak-budak lagi, yang harus dimarah, dipandu dan dibantu setiap masa, itu bukan cara yang betul.

Let them go, as long as they are happy with their life, we can always learn to be happy too...".
NJ setuju. Dan NJ sedang belajar menerima. Dan juga sedang belajar untuk melepaskannya pergi. Walaupun ketika menaip ini, airmata bergenang jua...

"Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu hanyalah ujian (bagimu). Dan di sisi Allah, pahala yang besar"

(At-Taghabun ayat 15)


Tetapi NJ tetap tamak, apatah lagi bila mengenangkan bahawasanya tanggungjawab anak lelaki terhadap kedua ibu bapanya tidak pernah putus, maka doa & harapan NJ agar anak yang seorang ini akan sentiasa mengingati ibu bapanya walau di mana jua dia berada. Memang tidak adil untuk memaksa dia mengikut kehendak kita kerana dia juga mempunyai kehidupannya sendiri. Kami sebagai ibu bapanya hanya mampu memberi jalan, pendedahan, peluang dan galakan supaya dia mampu membuat pilihan yang terbaik untuk dirinya, dunia dan akhirat....






Selamat hari ulangtahun sayang, Mama & Ayah sangat-sangat menyayangimu. Selamat menempuh kehidupan alam dewasa yang penuh dengan cabaran, kami tahu Arif mampu menghadapinya dengan baik dan cemerlang, dunia & akhirat. Terbanglah sayang, jelajahlah dunia yang maha luas ini, semoga jalan yang dipilih akan lebih mendekatkan dirimu kepada Allah swt, semoga kekuranganmu akan membuatkan dirimu tetap berpijak di bumi yang nyata, dan semoga kelebihanmu akan menjadi senjata yang dapat membantu keluargamu, agamamu dan sesiapa saja yang memerlukan bantuan di seluruh dunia, In sha Allah.

"Merantaulah. Gapailah setinggi-tinggi Impianmu. Bepergianlah. Maka ada Lima keutamaan untukmu; melipur duka & memulai penghidupan baru, memperkaya budi, pergaulan yang terpuji serta meluaskan ilmu"

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails