Pages

Thursday, January 08, 2015

Cerita Banjir...

Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun...

Dahsyat sungguh banjir yang berlaku di Kelantan dan di negeri-negeri lain baru-baru ni. NJ ingin berkongsi cerita keadaan banjir yang berlaku di Kelantan khususnya kerana keluarga hubby ada di sana dan mereka juga merupakan mangsa banjir. Ceritanya begini...

Umum mengetahui Kelantan dilanda banjir awal yang diakibatkan limpahan air Sungai Golok pada 17 Disember lalu, pada masa yang sama kami di HCMC. Wakaf Che Yeh dinaiki air dan rumah ibu mertua NJ terkesan juga dengan limpahan air tersebut. Mereka tidak menyangkakan akan terjadinya banjir kali kedua yang lebih besar dalam masa terdekat dan langsung tak membuat apa-apa persiapan. Kami sekeluarga terbang ke Thailand sebelum kejadian. Setelah air surut, kami nekad mengambil laluan keretapi ke Golok untuk menyeberangi sempadan Malaysia. Alhamdulillah, sempadan dibuka walaupun tiada elektrik, dan katanya laluan ke Kota Bharu baru saja boleh dilalui pada hari kami sampai. Bila sampai di rumah ibu mertuaku, speechless...memang mata hanya mampu melihat dan minda hanya menyerap apa yang berlaku. Dengan menyarung but getah, NJ memulakan kerja-kerja pembersihan. Memang tak tau nak mula dari mana, terlalu overwhelmed dengan segala-segalanya. Dua hari di WCY dan dua hari di Tanah Merah dah cukup membuatkan tangan NJ membengkak. Acapkali NJ berzikir dan berdoa di dalam hati semoga NJ diberikan kekuatan untuk terus bekerja bila badan kata 'stop, tak payah buat lagi, penaaaat...'. Pemandangan di kiri-kanan jalan sepanjang laluan ke rumah adik ipar di Tanah Merah memang sangat menyedihkan, sampah perabot menggunung tinggi dan mangsa banjir diselaputi selut kuning dari kepala ke kaki dek kerja-kerja pembersihan adalah perkara biasa. Sayangnya NJ tak berdaya lagi untuk menolong setelah hari keempat. Harapnya ada lagi bantuan yang akan sampai untuk menolong mangsa-mangsa banjir ini walau memakan masa yang lama kerana masih banyak lagi yang memerlukan pertolongan walau di sana-sini ada yang berkata bantuan yang diberikan sudah cukup malah berlebihan. Bantulah mereka tanpa mengharapkan apa-apa balasan, NJ yakin rakyat Malaysia sangat pemurah.

Di bawah adalah gambar-gambar yang dapat NJ dan Arif ambil semasa berada di sana. Rupanya ada di kalangan mereka yang tidak suka diambil gambar kerana mereka mengharapkan pertolongan dari kita bukannya hanya sekadar melihat melalui lensa kamera dan berlalu pergi tanpa bertanya khabar...







Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun. Allahumma ajirnii fii mushibatii wakhluf lii khairamminhaa.

Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kami kembali kepada-NYA. Ya Allah berikanlah kami pahala dalam musibah ini dan berikanlah kami pengganti yang lebih baik (HR. Muslim)


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails