Pages

Wednesday, April 29, 2015

When tragedy strikes...

Rasanya baru sekejap menghadiri perkahwinan anak saudara di Trengganu, hari ni dia terbaring di katil hospital kerana kemalangan. Kemalangan yang bukan biasa-biasa tetapi kemalangan serius sehingga menyebabkan sebahagian daripada tempurung kepalanya dibuang, innalillahiwainnailaihirojiun....Dia baru saja balik dari berbulan madu bersama isteri tercinta dan beberapa ahli keluarga, pada satu pagi yang biasa, dia mendapat kemalangan yang sehingga kini tak tahu apa puncanya sebab tiada saksi dan orang hanya jumpa dia dah terbaring di tepi jalan dengan motor yang rosak teruk dan lekukan di tiang elektrik. Dalam usaha menyelamatkan nyawanya, abang iparku terpaksa memberi kebenaran untuk doktor melakukan pembedahan craniectomy (tempurung yg dibuang tidak disimpan) untuk mengurangkan pembengkakan otak dan hingga kini dah hampir 2 minggu dia masih di ICU, masih tak sedar lagi.

Ya Allah, betapa dekatnya kita dengan kematian, hanya kita sendiri tak menyedarinya. Selama ni NJ hanya membaca berita atau mendengar cerita tentang kisah-kisah hampir serupa tetapi bila ianya berlaku kepada ahli keluarga sendiri, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ahli keluarga yang menghadapinya. Sedihnya tak tergambar setiap kali melihat dia terbaring tanpa tindak balas kami yang menyapanya. Tak terbayang perasaan sang isteri yang baru sahaja menikmati bibit-bibit bahagia melayari kemanisan alam rumahtangga tetapi kini terpaksa melihat keadaan suaminya yang sebegitu rupa. Tak terbayang perasaan ibu-bapanya yang menjaganya dari kecil hingga dewasa umpama menatang minyak yang penuh tetapi kini terpaksa melihat anaknya terlantar di atas katil hospital bertarung nyawa. Sesungguhnya kami hanya mampu berdoa dan mengharapkan keajaiban....

Lusa kami akan berangkat sekali lagi ke Trengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara yang kedua di saat memori majlis perkahwinan Shamin masih berbekas, bagai baru semalam ia berlaku. Siapalah kita yang mampu menidakkan ketentuan Allah swt. Hanya doa yang mampu kami hulurkan untuk Shamin semoga dia sembuh dan kembali ke pangkuan keluarganya yang merindui suara, senyuman dan tawanya.

Ya Allah Ya Tuhanku, sembuhkanlah anak saudaraku Shamin, berikanlah dia kekuatan untuk mengharungi ujian ini, ampunkanlah dosa-dosanya dan dosa-dosa kami ahli keluarganya, kasihanilah dia dan kasihanilah ibu bapanya Ya Allah, hanya kepadaMu kami memohon pertolongan dan hanya kepadaMu kami memohon keampunan.


2 comments:

pB said...

semoga Allah permudahkan segala urusan penyembuhan anak sedara NJ

Kak Elle said...

so sorry to read this semoga dipermudahkan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails