Pages

Sunday, August 30, 2015

41...

Bismillahirrahmanirrahim…

Selamat Hari Ulangtahun ke-41 tahun….

NJ hanya manusia biasa, dan seorg wanita pula.Wanita yang lazimnya cintakan perhiasan dunia, wanita yang punya nafsu-nafsi, mudah dipengaruhi, punya sifat iri hati dan mencemburui, dan macam-macam lagi. Tetapi setelah usia semakin menginjak ke angka 40, NJ jadi sedar diri dan keinginan utk memperbaiki diri menjadi muslimah sejati semakin meninggi walau sehingga kini masih banyak yg perlu diperbaiki. Taknak lah nanti NJ dihencap sebagai Kak YAH (Young At Heart) pula, berlagak muda dan berpakaian tak kena gaya. Melihat uban di kepala yang kini kian melata hanya menambah keinsafan di dalam diri. Pujian ‘awet muda’ tidak lagi memberi erti kerana hakikat usia kini tidak boleh dipandang sepi. Terasa sangat-sangat rugi kerana membiarkan masa muda berlalu dgn melakukan kewajipan sebagai seorg Islam hanya sebagai syarat, dan sangat liat utk melakukan ibadah-ibadah lain, mahu pun menjaga keperibadian sebagai seorang muslimah dgn betul caranya.

Memikirkan dosa-dosa lampau dan memikirkan kematian sering membuatkan NJ terfikir ‘adakah aku bersedia utk mati?’Apakah pilihan yg aku ada? Diberi ujian sakit utk lebih bersedia atau diambil nyawa secara tiba-tiba tanpa tahu bila masanya. Setiap kali tiba hari lahir, semua orang akan mengucapkan ‘semoga panjang umur & murah rezeki’, tak pernah terfikir yang kita diberikan umur yang panjang kerana Allah memberi kita kesempatan untuk bertaubat, beribadah dan berbuat amal kebajikan yang akan menempatkan kita di syurga, bukannya di neraka.

Sungguh, kematian yang membuatkan NJ tersedar. Kali terakhir ahli keluarga terdekat (sebelum kematian Shamin) yg meninggal dunia adalah arwah Encik (bapa NJ) diikuti arwah Ayah mertua NJ berselang setahun, 16 tahun lepas, pada masa NJ masih mentah, masih degil, masih tak sedar diri, dan masih jahil. Kematian yang membuatkan NJ menangis hiba hanya seketika tetapi selepas itu hanya bacaan Al-Fatihah setiap waktu solat dan bacaan Yasin yang disedekahkan setiap minggu. Rindu dan airmata hanya datang sesekali terutamanya apabila teringatkan mimpi bertemu arwah yang manis tersenyum di luar jeriji pintu, dan seolah terdengar suaranya berkata "jangan risau, ini hanya sementara" sambil berlalu pergi. Ya Allah, kini NJ benar-benar harapkan ia begitu, perpisahan yang sementara, semoga kami akan bertemu semula di Jannah. Terasa bodoh kerana memikirkan doa-doa NJ untuk arwah Encik selama ini mungkin bukan doa seorang anak yang solehah, Astaghfirullahal'azim… Selepas itu, banyak juga kematian yg NJ saksikan di kalangan saudara-mara dan kenalan, tetapi hanya satu yg melekat di kepala dan mendatangkan keinsafan. Untuk pertama kalinya NJ tersentak, tersentap dan tersedar akan hakikat kematian. Untuk pertama kalinya NJ menangis hiba memikirkan bagaimanakah saat-saat NJ bila dimandikan dan dikafankan nanti. Untuk pertama kalinya NJ mengimpikan mati di dalam keadaan husnul khatimah, bukannya su’ul khatimah. NJ masih teringat jenazahnya (wanita, bukan ahli keluarga terdekat, Al-Fatihah), lembut anggota tubuh badannya, suci wajahnya, tenang laksana tidur yg lena. Ya Allah, NJ mahu begitu Ya Allah…. NJ juga pernah dikejutkan dengan kematian seorang kenalan lama berpangkat kakak yang meninggal dunia secara tiba-tiba di bilik air, tanpa diketahui sebabnya, tiada sakit tiada apa. Mereka hanya terdengar jeritan kecil di bilik air dan bila pintu dibuka, arwah sudah menghembuskan nafas terakhirnya. Seseorang berkata ‘mungkin jeritan itu kerana dia terperanjat melihat malaikat maut di saat kematiannya’. Begitu juga kematian anak saudara, Shamin baru-baru ini. Walaupun di usia muda, sedang berbahagia melayari manisnya alam berumahtangga, kematiannya membuktikan bahawa ajal maut itu adalah rahsia Allah swt. Ia tak mengenal usia, di mana dan bila ia berlaku. Ya Allah, jauhkan aku dari kematian yang tiba-tiba pada saat aku lalai dan leka, NJ ingin bersedia ke arah itu....

Hakikatnya, membuat janji adalah payah, apatah lagi membuat janji dengan Allah swt.  Sukarnya melawan nafsu, sukarnya melawan sifat-sifat mazmumah yg dah lama wujud dalam diri, hitam berkeraknya hati sukar untuk disuci, hanya diri sendiri yang lebih mengetahui. Masih wujud lagi sifat cemburu (semoga ini cemburu yang diredhai) bila melihat buku ‘Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman’ di rumah seseorang pada tiga tahun yang lalu. Memikirkan tuan rumah akan menunaikan ibadah Haji terlebih dahulu dah cukup mendorong NJ utk membeli buku yg sama demi mengetahui apa isi kandungannya dan berazam utk mendptkan ilmu yg lebih daripadanya. MasyaAllah, sebenarnya isi kandungan buku itu sangat-sangat berbeza drp buku-buku keagamaan yg NJ baca selama ini, buku-buku yg dibaca sambil lalu tanpa berbekas di hati. Buku ini pula berbeza, isinya bukan sahaja bercerita tentang ibadah haji tetapi lebih drp itu. Gaya penceritaannya sangat bersahaja dan tidak membosankan. Pintu hati bagai diketuk mahu mengenali dengan lebih lanjut siapakah gerangan penulis yg bernama Prof. Dr. Haji Muhd. Kamil Bin Ibrahim ini. Pencarian yg membawa NJ mengenali penulis yg seterusnya iaitu Puan Hjh Roza Roslan yg juga merupakan isterinya. Bermula dari situ, NJ merupakan peminat setia mereka berdua, tak pernah lupa utk membeli buku-buku nukilan mereka kerana NJ percaya masih banyak yg perlu dipelajari, dengan harapan NJ dapat memperbaiki diri, dan memperbaiki kualiti ibadah sebagai bekalan di alam akhirat yg kekal abadi. Ajakan mereka supaya khalayak pembaca berfikir dan berubah ke arah kebaikan adalah di dalam nada bersahaja tetapi tegas sehinggakan hati-hati yang keras dan degil boleh menjadi cair lantas cuba untuk mengamalkan apa yang disarankan. Yang pastinya, NJ faham, untuk berubah kita harus mengambil langkah pertama, kerana tanpa langkah, kita tidak akan maju ke mana-mana, hanya bermain-main dengan kata-kata, seperti ‘Pi mai pi mai tang tu’ saja…. Percayalah, hanya dengan niat untuk berubah ke arah kebaikan, Allah swt akan makbulkan, walau ia mengambil masa yg lama. NJ ingin muhasabah diri, istiqamah dan tergolong di dalam kumpulan yang berjaya melalui ujian Umur, Ilmu, Harta-benda & Jasad  ini.

"Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)

Ya Allah, perkenankanlah…

Beli buku online

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails