Pages

Friday, October 27, 2017

Teguran...

Teguran datang dalam pelbagai bentuk. Kekadang kita sedar ianya untuk kebaikan kita, tetapi mungkin juga kita tak sedar lantas marah apabila teguran datang dalam keadaan yang tidak diduga dan tidak disangka-sangka. Mungkin juga kita tak sedar bahawasanya teguran itu datang dari Allah swt, untuk kita muhasabah diri dan memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dari sebelum ini. Awal atau lewat, kita kena terima dan bersyukur kerana kita hambaNya yang terpilih untuk menerima teguran dan berubah, daripada menjadi mereka yang merasakan bahawa setiap perbuatan salah yang dibuat selama ini adalah betul, betul dan betul, lantas tenggelam dlm dunia lagha selama-lamanya tanpa sempat membuat perubahan dan bertaubat, nauzubillahiminzaalik...

NJ banyak menerima teguran seumur hidup ni. Teguran kasih-sayang daripada ibu bapa, teguran tegas daripada para guru dan pendidik, teguran berupa sindiran daripada mereka yang tidak dikenali, dan banyak lagi. Ada yang NJ terima di situ juga, kebanyakannya hanya mendatangkan omelan dan rungutan dalam hati. NJ yang muda sangatla panas baran, sukar untuk menerima pendapat dan teguran orang lain. Alhamdulillah NJ punya suami yang cool, yang banyak mengajar NJ tentang erti sabar dan redha sebagai kunci untuk mendapatkan ketenangan diri. Ini adalah sekelumit kisah teguran yang NJ hendak kongsi..

Baju lengan pendek:
Dulu rasa kelakar kerana ditegur tidak berpakaian muslimah jauh dari bumi Malaysia. Masa tu NJ masih di ITM, ikut field trip ke Bangkok. Pakai ikut sedap rasa, bertudung tapi pakai tshirt berlengan pendek. Terjumpa couple warga emas berbangsa Arab yang sangat ramah, lantas berkenal-kenalan dan beramah-mesra bersama mereka. Maka bermulalah sesi soal jawab, sang isteri menegur NJ kerana tidak berpakaian menutup aurat sepenuhnya, maka memerah lah pipi tersipu malu dan mengiakan apa yang dikata. Tetapi NJ rasa macam apalah sangat kesalahan NJ berlengan pendek kalau nak dibandingkan dengan si penegur yang tidak bertudung malah berskirt pendek? Astaghfirullah, begitulah NJ, selalu menafikan kesalahan sendiri dan kebiasaannya hanya menuding jari. Kesedaran yang sebenar datang lama selepas peristiwa itu, lama yang sangat lama, maka benarlah apa yang dikata, hidayah itu hanyalah milik Allah jua...

Aurat kaki:
Bukan NJ tak tau yang aurat wanita itu termasuklah kaki yang dirasakan rimas hendak berstokin setiap masa. Melihat, memandang, membaca tentang aurat tersebut di sana-sini tapi tiada siapa yang pernah menegur kedegilan NJ hinggalah pada suatu hari, di bumi yang sama, di Bangkok jua, NJ mendapat teguran daripada seorang wanita Arab di dalam BTS, geram juga NJ mendengar bebelannya di dalam bahasa Arab tentang kaki togel NJ. NJ faham bahasa badannya kerana dia membebel kepada pasangannya sambil memuncung-muncungkan mulutnya ke kaki NJ dan menggeleng-geleng kepala dari train bergerak sampailah train berhenti di hentian seterusnya. Adakah benar apa yang NJ teka, wallahua'lam, tapi NJ anggap itu juga sebagai teguran yang didatangkan oleh Allah untuk NJ lebih sedar diri. NJ cuba untuk memakai stokin kaki selepas peristiwa itu, tetapi NJ hanya manusia biasa, kekadang terlupa dan kemalasan juga..

Tudung menutup dada:
"dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka"
(An-Nuur ayat 31)

Yang ini NJ memang akui sejak dulu NJ bertudung pendek, tidaklah terlalu pendek tetapi tidaklah pula terlalu labuh hingga menutup hingga ke bawah dada. Almaklumlah wanita yang suka berfesyen, pantang ada fesyen tudung terkini, maka sibuklah hendak ke kedai dan mencari apa yang diingini. Ada satu kedai yang NJ biasa langgani, ada satu kali NJ ke sana, pemiliknya bertanya "adik memang suka pakai tudung pendek ya?" kerana NJ mengomel tak jumpa yang berkenan di hati. Aduh terkesima NJ di situ juga, tak tau sama ada pertanyaan itu ikhlas atau berbau sindiran kerana dia sendiri menjual tudung pendek kepada pelanggan. Tapi tak lama lepas itu, NJ mula membongkar simpanan tudung, mana yang pendek singkat diketepi, tinggal yang sederhana labuh sahaja kini. Malah yang terang berwarna-warni juga hampir tidak ada lagi...

Baju usia:
Sebelum memasuki usia 4 series, NJ telah berjanji kepada diri sendiri untuk memperbaiki penampilan diri, tak mau lagi berpakaian seperti muda-mudi, kerana perasan dah tua melanda diri. Orang sekeliling tiada yang menegur tetapi penegur ramai di media massa kini. Alahai, maklumat kan ada di hujung jari, maka sesi pembelajaran bermula lagi. Banyak lah NJ membaca dan memerhati, terutamanya kepada generasi muda yang berhijab Syar'i, malu pula pada diri sendiri yang masih berkira-kira, bilalah nak mula berpakaian begini. Maka banyaklah baju lama yang ketat dan singkat diketepikan, koleksi pakaian baru pula dilonggarkan dan dilabuhkan. Kekadang perasan kerendangan diri bila berpakaian begini, tetapi NJ memujuk hati sambil berkata apalah yang hendak ditunjukkan lagi kerana Allah lebih mengetahui...

Sakit:
Teguran juga datang dalam bentuk ujian sakit, bukan saja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada orang tersayang. Perasaan takut mati wajib ada, bukan kerana takut nak meninggalkan kehidupan dunia yang indah ni, tapi takut kerana memikirkan cukupkah bekalan yang kita ada untuk dibawa ke sana nanti. Kekadang kematian ahli keluarga secara mengejut mendatangkan beribu persoalan yang membingungkan tapi ketentuan Allah tiada siapa yang boleh menidakkan. Bermula dengan pemergian mengejut anak saudara NJ, abang dan kakak sepupu tak berapa lama dulu, ujian sakit pula menimpa ibu, ibu mertua, kakak NJ, Arif, dan yang terbaru adik ipar yang hanya mendatangkan kebimbangan dan keresahan tentang apa yang tersedia di hadapan. Both of Arif's parents side dah ada sejarah kanser sekarang, maknanya genetik kami adalah prone to get such disease sooner or later, nauzubillahhiminzaalik... Maka apa yang perlu dilakukan, adakah masih berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa atau menapak perlahan-lahan dalam melakukan perubahan? Mental dan fizikal yang NJ maksudkan, juga perubahan ke arah mempersiapkan diri menuju ke masa hadapan. Allahu, tak mau NJ fikir yang bukan-bukan tapi itu kan lebih baik daripada langsung tidak dipertimbangkan?

NJ percaya teguran itu isyarat daripada Allah swt untuk kita manusia biasa yang tak lari dari melakukan kesilapan supaya jangan bertangguh-tangguh melakukan perubahan, dan isyarat untuk kita lebih mendekatkan diri kepadaNya. Bohonglah kalau kita yakin kita layak masuk syurga, tapi tak salah kalau kita mengimpikannya lalu berusaha sedaya-upaya untuk menggapainya. Bercakap memang senang tapi kalau tak ada azam dan keinginan, lagi payah nak melakukan. Cita-cita mesti ada, lambat atau cepat terlaksana, bukan atas kuasa kita. Kalau dizinkan Allah, maka semuanya akan dipermudahkan.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat,
dan peliharalah kami dari siksa neraka'
QS. Al-Baqarah: 201

1 comment:

m.u.l.a.n said...

Salam Laut China Selatan.. Moga sentiasa sihat & ceria.. :)

Yg disini pon sama moga istiqamah utk menjadi muslimat sejati..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails